KUANTAN: Pasukan Genting Paya Sinaran muncul johan Kejohanan Futsal Terbuka Tioman Satu selepas menewaskan Kelab Gunung Pulau Tioman 4-0 pada aksi final di Gelanggang Serbaguna Kampung Genting, Pulau Tioman, Rompin, semalam.
Kejayaan itu membolehkan Genting Paya Sinaran menerima wang tunai RM3,000, pingat, piala pusingan, piala iringan dan hamper manakala Kelab Gunung Pulau Tioman pula menerima RM1,500, pingat dan hamper.
Kejohanan kali keempat itu dianjurkan Belia Kampung Genting/Paya dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Genting/Paya.
Sebanyak 19 pasukan mengesahkan penyertaan dan kejohanan selama tiga hari itu turut membabitkan empat pengadil, termasuk dua wanita daripada Persatuan Bolasepak Daerah Rompin (Rompin FA).
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Genting/Paya, Azman Awang Mohd berkata, kejohana itu diadakan bagi menarik penyertaan golongan belia di Pulau Tioman.
"Kita gembira dengan penyertaan pasukan yang semakin meningkat setiap tahun. Tahun lalu, sebanyak 16 pasukan menyertainya dan membuktikan kejohanan ini bukan sahaja berjaya menarik minat, malah dapat mengeratkan hubungan antara mereka," kata Azman. Source bharian
