Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran ganja dan syabu di Lembah Klang serta Sabah berikutan penahanan tiga lelaki membabitkan rampasan dadah bernilai lebih RM6.4 juta pada 6 dan 7 Nov lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata bagi kes pertama, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan seorang lelaki di hadapan sebuah kondominium di sekitar Petaling Jaya kira-kira 1.30 tengah hari serta merampas dadah jenis ganja seberat 8,500 gram
.Beliau berkata suspek kemudian membawa polis ke sebuah unit di kondominium terbabit dan menemukan 689 peket makanan ringan disyaki mempunyai campuran ganja seberat 37,963 gram, bunga ganja seberat 140,900 gram, cendawan disyaki mengandungi dadah dengan anggaran berat 847 gram serta cecair vape dipercayai mempunyai campuran ganja anggaran isi padu 80 mililiter.
